Pages

Saturday 26 November 2011

Kuasa K-Pop


KEJAYAAN kumpulan pop Korea Selatan mengukuhkan pengaruh mereka merentasi Asia dan Eropah melonjakkan saham agensi bakat tempatan. 

Pencapaian menembusi pasaran luar mendorong pelabur dan syarikat untuk memanfaatkan peluang keemasan itu dengan menyertai gelombang Korean pop (K-pop).
Kuasa gelombang Korea atau Hallyu, terutama dalam industri muzik membawa keajaiban kepada industri hiburan tempatan di negara itu.
Pendapatan purata daripada tiga agensi utama muzik di Korea Selatan iaitu SM Entertainment Co, JYP Entertainment Corp dan YG Entertainment Co meningkat lapan kali ganda kepada RM104 bilion pada 2010. 

Pendapatan keseluruhan mencecah RM425 bilion tahun lalu dan diramalkan mencatat keuntungan berganda sepanjang 2011 menerusi kutipan royalti dan persembahan di luar negara. 

SM yang menaungi nama besar seperti Girl's Generation, Super Junior dan SHINee adalah antara pemain utama yang menyumbang pendapatan terbesar dalam industri muzik Korea Selatan. 

Memasuki industri hiburan pada 2000, saham agensi utama pemain industri hiburan Korea Selatan itu meningkat sehingga 15 peratus, selepas kejayaan konsert jelajah di Paris, Jun lalu. 
Konsert dua hari yang menampilkan barisan artis utama naungannya berjaya mengumpul 14,000 peminat di sekitar Eropah. 

Malah lebih 300 peminat sanggup menari di depan Louvre semata-mata untuk mendapatkan tiket tambahan selepas habis dijual dalam masa 15 minit. 

JYP yang diilhamkan oleh penyanyi dan penulis lagu, Park Jin-young juga selesa dengan himpunan nama terkenal seperti Wonder Girls, serta dua kumpulan penyanyi lelaki popular, 2AM dan 2PM. 

Leon Entertainment Inc yang menawarkan perkhidmatan dalam talian dan Keyeast Co di mana saham terbesar dimiliki oleh bintang utama Winter Sonata, Bae Yong-joon juga antara pemain industri hiburan yang sedang mencuri perhatian. 

"Ia menunjukkan petanda positif apabila agensi pencarian bakat begitu agresif menembusi pasaran luar negara. Usaha untuk berkolaborasi dengan agensi tempatan sedang dipergiatkan, sekali gus memacu gelombang Korea berterusan," kata penganalisis hiburan dan media di Korea Investment & Securities Co, Kim Shi-woo. 

Tambah Kim lagi, penggiat industri muzik Korea mempunyai potensi besar terutama di Jepun yang menjanjikan keuntungan pasti. 

Gelombang positif itu memberikan keyakinan kepada YG yang diasaskan oleh, Yang Hyunsuk iaitu legenda K-pop 90-an menerusi kumpulan Seo Taiji and Boys untuk memperluaskan pengaruh mereka di Asia. 

"YG sedang berusaha untuk memperkemaskan keutuhannya. 

Banyak perancangan sedang disusun untuk melancarkan cawangan baru di China serta di sekitar rantau ini," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yang Min-suk pada satu sidang media, baru-baru ini. 

Yang menegaskan pasaran dunia kini berminat untuk mendalami sistem pengurusan bakat di Korea Selatan lantas mendorong YG mengeksport sistem itu menerusi penubuhan akademi. 

"Pasaran kandungan di Korea Selatan sedang membangun dan mempunyai ruang untuk terus berkembang. Gelombang pertama Korea dimulai 10 tahun lalu menerusi siri televisyen dan kini muzik pop mendahului aliran itu," katanya. 

Pemerhati pasaran bagaimanapun, memberi amaran kepada agensi bakat supaya tidak terlalu ghairah dalam usaha mereka. 

Ini didorong perasaan sangsi sejauh mana kegemilangan yang sedang dikecapi itu mampu bertahan, apatah lagi pergerakan anti-hallyu sudah muncul di Jepun. 

Sejak Ogos lalu, beberapa kumpulan nasionalis Jepun mengadakan protes meminta supaya stesen penyiaran mengurangkan jumlah siaran siri televisyen dan program hiburan Korea. 

Selain itu, beberapa pihak lain turut membangkitkan pelbagai persoalan terutama apakah kegilaan terhadap K-pop memberi faedah kepada industri hiburan secara keseluruhan. 

"Impak ekonomi terhadap gerakan anti-Hallyu itu lebih membimbangkan daripada apa yang dijangkakan. Hanya sebahagian kecil daripada pelabur yang meraih keuntungan daripada gelombang itu. 

"Seperkara yang perlu diberi perhatian, tidak semua percubaan di luar negara itu membuahkan kejayaan. Lagi besar kuasa seseorang artis itu, lebih besar kebarangkalian untuk mereka jatuh. 

"Hakikat itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ," kata Kim Chang-kwon mewakili Daewoo Securities Co. 

YG umpamanya berdepan halangan besar apabila imej artis naungannya, G-Dragon tercalar gara-gara skandal dadah. 

Perbuatan penyanyi rap itu menghisap ganja yang dilarang keras di Kora memaksa pengurusannya segera bertindak untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang. 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts